Wednesday, October 07, 2009

TONGKAT MENYEMBUH LUMPUH

Berikut adalah salah satu tajuk cerita yang sedang dalam proses penciptaan. Cerita ini ditulis mengikut teknik Surah Yusuf iatu teknik wajib untuk buku-buku yang diterbitkan oleh PTS.

SEWAKTU Nabi Muhammad sedang berehat-rehat di rumah bersama-sama dengan isterinya Aisyah, beliau telah didatangi oleh seorang wanita dalam keadaan tangannya yang lumpuh. Wanita itu merayu kepada Nabi Muhammad, “Wahai Nabi Allah, tolonglah berdoa kepada Allah supaya tanganku yang lumpuh ini sembuh seperti sediakala.”

Nabi Muhammad memandang wanita itu lalu bertanya, ”Mengapakan tanganmu menjadi lumpuh begini?”

“Aku telah bermimpi seolah-olah kiamat telah berlaku. Api neraka telah dinyalakan dan syurga telah diperlihatkan. Di dalam neraka itu, aku melihat ibuku sedang menggapai-gapaikan tangannya. Tangan kanannya menggeggam seketul daging manakala tangan kirinya memegang secebis kain. Seketul daging dan secebis kain itu digunakan oleh ibuku untuk menghalang kemaraan api neraka yang akan menjilat tubuh ibuku,” kata wanita itu sambil menarik nafas.

Dia berhenti bercerita lalu memandang kepada Nabi Muhammad dan Aisyah.

“Apakah yang telah berlaku kepada ibumu?” tanya Nabi Muhammad lagi.
Wanita itu masih mendiamkan diri. Dia menggosok-gosok matanya lalu meneruskan ceritanya. Dalam mimpinya itu dia bertanya kepada ibunya, “Wahai ibuku, mengapakah engkau berada di dalam jurang neraka ini? Bukahkah ibu seoang yang taat kepada Allah dan sentiasa menurut perintah suamimu?”

“Sewaktu di dunia, ibu bersifat bakhil dan kedekut. Ibu jarang bersedekah.”

“Tapi mengapakah ibu membawa secebis kain dan seketul daging?” anak kepada wanita itu bertanya lagi.

“Cuma dua barang ini sajalah yang pernah ibu sedekahkan sewaktu di dunia.”

“Di manakah bapaku berada sekarang, wahai ibuku?”

“Ayahmu adalah seorang yang dermawan. Sekarang dia ditempatkan di kalangan orang-orang yang dermawan, iaitu di syurga,” jawab ibunya lagi.

Wanita itu berhenti bercerita lagi. Dia termenung sebentar sambil mengusap-ngusap wajahnya. Dia memandang wajah Nabi Muhammad dan Aisyah silih berganti.

Melihatkan keadaan itu, Nabi Muhammad bertanya lagi, “Apakah pula yang berlaku terhadap bapamu?”

Wanita itu meneruskan ceritanya. Dia kemudian mencari ayahnya di syurga. Dia menemui ayahnya sedang memberi minum kepada orang ramai di tepi telaga Rasulullah.

Wanita itu bertanya, “Wahai ayahku. Ibuku adalah seorang wanita yang taat kepadamu dan juga kepada Allah. Sekarang dia berada di neraka sedang menderita kehausan dan kepanasan, sedangkan ayah berada di sini tempatnya indah, nyaman dan menyegarkan. Tidakah ayah berasa kasihan terhadap ibu?”

Wahai anak perempuanku. Allah telah mengharamkan air telaga ini kepada orang-orang yang bakhil dan senang berbuat dosa. Sewaktu di dunia, ibumu bukanlah orang yang senang bersedekah. Memang selayaknya dia terjerumus ke dalam neraka,” kata ayah kepada wanita itu.

“Lalu apakah tindakanmu untuk membantu ibumu?” Tanya Nabi Muhammad lagi setelah melihat wanita itu berhenti bercerita agak lama. Wanita itu membetulkan duduknya lalu meneruskan ceritanya.

“Aku telah mengambil air dari telaga Kautsar itu secara sembunyi-sembunyi tanpa pengetahuan bapaku kerana aku tersangat kasihan melihat keadaan ibuku. Tiba-tiba aku mendengar satu suara yang melaknati perbuatanku itu dan mahu agar tanganku lumpuh. Aku terkejut lalu terjaga dari tidur. Aku dapati tanganku telah benar-benar lumpuh,” kata wanita itu mengakhiri ceritanya.

Setelah mendengar cerita wanita itu, Nabi Muhammad pun mengambil tongkatnya lalu meletakkan hujungnya pada tangan wanita itu sambil berkata, “Dengan kebenaran mimpi yang telah diceritakan oleh wanita ini, semoga engkau menyembuhkan tangannya dari kelumpuhan.”

Tidak lama kemudian penyakit lumpuh wanita itu pun sembuh.

No comments: