Thursday, May 24, 2007

MELERAI CINTA DUKA

Berikut adalah petikan bab lima manuskrip novel 'Melerai Cinta Duka' yang sedang dalam proses penciptaan. Cerita digarap berdasarkan teknik konvensional.


ANTARA tanggungjawab anak terhadap kedua ibu bapa yang mesti ditunaikan ialah berbuat baik kepada mereka, mematuhi segala arahan, memberi perkhidmatan yang baik pada kadar yang termampu, menjaga diri mereka ketika tua, jangan meninggikan suara ketika bercakap dengannya serta sentiasa mendoakan kebaikan mereka di dunia mahupun akhirat.

Kata-kata Ustazah Hanani bt. Mat Ali ketika masih berada di tingkatan lima Sekolah Menengah Tengku Abdul Rahman Putera di Sabak Bernam, masih segar lagi dalam ingatannya. Kata-kata yang berupa nasihat itu telah pun diterapkan dalam amalan hidup sehariannya. Norfaizura telah pun mempraktikkan amalan itu sejak dahulu lagi. Dia sedar pengorbanan kedua orang ibu bapanya amat besar. Justeru itu, dia seberapa boleh tidak mahu untuk menghampakan harapan mereka. Norfaizura telah berusaha sekadar yang termampu olehnya untuk membahagiakan kehidupan ke-dua ibu bapanya.

Namun dalam situasi begini, mampukah dia terus bertahan untuk tidak mengecewakannya? Sepanjang usia dua puluh dua tahun melayari hidup ini dia belum pernah pun menyakiti hati dan perasaan mereka. Segala kemahuan dan nasihat mereka tidak pernah dibantah. Dia mengikut sahaja. Seboleh-bolehnya dia mahu menjadi seorang anak yang baik. Anak yang mengikut kata kedua ibu bapanya. Dia masuk universiti dan mengambil bidang pendidikan juga atas kehendak orang tuanya. Mereka mahu anak keduanya itu menjadi seorang guru.

Menurutnya, guru adalah satu-satunya jawatan yang paling mulia di sisi masyarakat. Semua orang yang berjaya dalam hidup ini adalah bermula daripada ajaran dan didikan seorang guru. Gurulah yang membolehkan mereka membaca, menulis, dan mengira.

‘Seseorang guru adalah benar-benar guru dan memiliki sifat-sifat keguruan apabila berjaya meramaikan manusia yang berguna, berjaya mengurangkan manusia kecewa, berjaya merapatkan hubungan manusia kepada Tuhannya, berjaya mengenali manusia gagal dan berjaya memahami diri sendiri yang adakalanya duka, adakalanya bahagia’.

Kata-kata Profesor Madya Mohd. Suhaimi bin Yaidi, pensyarah Falsafah Pendidikan, masih segar lagi dalam ruang ingatannya. Kata-kata itulah yang menjadi pendorong kepadanya untuk terus berbakti dalam bidang pendidikan. Baginya, dia tidak akan menyesal bagi menjadi seorang guru meskipun pada asalnya dia bercita-cita untuk menceburi bidang perakaunan.

“Zura, bagaimana dengan saranan ayah kau tempoh hari. Zura dah fikirkan masak-masak ke?” Ibu Norfaizura mendekatinya apabila dilihatnya dia termenung sendirian di muka tangga rumahnya.

Entah mengapa, hujung minggu itu hatinya tergerak untuk pulang ke kampung. Bukan sekadar untuk mengkhabarkan keputusan dan pendiriannya terhadap abang Zaidi, tapi yang penting dia ingin mengambil nota kuliahnya yang tertinggal disebabkan tergesa-gesa untuk pulang ke kampus setelah hatinya yang membara dahulu.

“Ibu, hati Zura sedikit pun tidak terpaut pada abang Zaidi. Apa lagi untuk menghulur cinta dan seterus-nya pasrah menjadi isterinya.”

Norfaizura memandang wajah ibu tua yang duduk di sebelahnya. Wajah-nya tetap muram. Sejak pulang petang semalam, dia banyak mendiamkan diri. Seharian dia tidur dan berkurung saja di dalam bilik. Barangkali dia keletihan. Barangkali juga hati dan jiwanya masih terus membara. Tiada tanda-tanda kelihatan akan reda, selagi kemahuan terus juga dipaksa bagi menerima sesuatu yang tidak rela.

“Cinta ada kalanya akan wujud selepas berkahwin, Zura. Dahulu ibu dengan ayah kau langsung tak kenal sebelum kahwin. Kami hanya mengenali dari jauh saja. Tapi bila sudah diijab kabulkan menjadi suami isteri bermakna kita sudah diamanahkan dengan satu tanggungjawab. Dengan itu perasaan cinta dan sayang, lahir dengan sendirinya.” Lembut sekali suara puan Ngatiah memujuk hati anak gadisnya. Tangannya mengelus-ngelus lembut rambut Norfaizura yang panjangnya paras bahu itu.

“Tapi ibu, abang Zaidi Zura anggap macam abang kandung Zura sendiri. Amat sukar bagi Zura untuk menerimanya sebagai suami!” Luah Norfaizura dengan suara yang agak meninggi. Ternyata, panas di dada masih jua belum reda. Sisanya masih lagi terus membara, merah menyala. Pandangannya kini dilemparkan ke hadapan pada reranting rimbun pokok rambutan yang menghijau. Sepasang burung murai asyik berkicau riang berlompatan dari satu ranting ke satu ranting yang lain. Mencari ulat-ulat pada daun pokok untuk santapan pagi itu, barangkali.

Alangkah bahagianya kehidupan sepasang burung murai. Sering berdua walau ke mana saja. Berkicau lantang tanpa henti dalam bahasa yang tidak difahami oleh manusia. Seketika itu Norfaizura tersenyum apabila teringatkan simpulan bahasa ‘Mulut Murai’.

Pernah suatu ketika, Marzilawati menggelarkannya dengan simpulan bahasa itu apabila dia tidak berhenti-henti bercakap dalam bilik asrama. Ketika itu, dia sedang menyiapkan latihan matematik al jabar yang diberi oleh pensyarah baru berambut pendek bernama Abdul Aziz bin Haji Bohari. Barangkali konsentrasi Marzilawati terganggu. Namun dia tidak pernah berkecil hati, kerana itu sudah menjadi tabiat semula jadinya. Apakah Norfaizura kini akan terus berkicau setelah pelbagai masalah melanda dalam jiwanya?

“Itu kehendak ayah, Zura. Ayah Zura tidak mahu Najua Syafika beribu tirikan dengan orang yang tidak tahu hati budinya. Kalau dia baik hati, tak mengapa. Tapi kalau sebaliknya?”
Norfaizura memandang wajah ibunya.

“Kenapa ayah beria-ia sangat mahu Zura mengganti tempat arwah kakak? Kenapa tidak diberi kebebasan kepada abang Zaidi untuk memilih sendiri pengganti arwah kakak?”. Dengus Norfaizura perlahan.

“Ayah kau sebenarnya amat sayang kepada abang Zaidi. Dia baik orangnya. Dia tidak mahu ikatan kekeluargaan kita terputus sebab itulah dia berhasrat mahu menjodohkan Zura dengannya. Biar ikatan yang terputus itu dapat bertaut kembali. Tapi kalau dia kahwin dengan orang lain, tentu hubungannya dengan kita semakin menjauh”. Puan Ngatiah bersuara lembut. Seboleh-bolehnya dia mahu memujuk hati Norfaizura.

“Zura tak percaya ibu. Zura tak percaya andai itulah alasan ayah. Zura rasa, ayah ada menyembunyikan se-suatu daripada pengetahuan Zura”.

Puan Ngatiah terdiam. Dia tahu anak gadis itu memang cerdas. Norfaizura mempunyai naluri ingin tahu yang tinggi dan boleh menjangka sesuatu perkara berdasarkan daya pengamatannya yang tajam. Meskipun dia tahu muslihat disebalik perkara itu, namun dia tidak akan memberitahu perkara yang sebenarnya kepada Norfaizura.

“Terpulanglah kepada kau Zura untuk memikirkannya. Ibu dan ayah mahu melihat kau hidup berbahagia nanti. Dia percaya abang Zaidi mampu memberikan kebahagiaan sepenuhnya kepada Zura”. Pujuk pun Ngatiah lagi. Sebagai seorang ibu, dia mahu kesenangan dan kebahagiaan terus mewarnai kehidupan anaknya suatu ketika nanti.

“Masa depan Zura bu, biarkah Zura sendiri yang menentukannya. Selama ini segala kehendak ayah telah Zura turutkan. Dalam soal memilih jodoh, berilah kebebasan kepada Zura untuk menentukannya sendiri. Tapi bukan sekarang. Ibu tahukan Zura masih lagi belajar di tahun akhir. Berilah ketenangan kepada Zura untuk belajar dan menghadapi peperiksaan akhir nanti. Janganlah bebankan Zura dengan masalah begini buuu..”

Saat itu perasaan hiba tiba-tiba menjelma. Sedih dan pilu menghiris di kalbu. Tanpa dapat diduga, mata yang bening itu mulai basah. Jiwa menjadi resah dan gundah.

“Sudahlah Zura. Ibu faham hati dan perasaan Zura”. Tangan Puan Ngatiah mengelus-ngelus tulang belakang anak gadisnya itu. Tentunya perasaan sayang kepada anak gadisnya itu masih menebal.

Namun sebagai ibu, dia hanya sekadar memberi pandangan, sedang-kan keputusan terletak di tangan ayah Norfaizura sebagai ketua keluarga. Meskipun dia amat bersimpati dengan masalah yang menimpa Norfaizura, namun apakan daya, dia hanya seorang ibu yang menjadi pengurus rumah tangga.

“Ibu dah terangkan semuanya ini kepada ayah kau Zura, tapi dia tidak mahu menerimanya. Dia tetap berkeras mahu Zura berkahwin juga dengan abang Zaidi”.

“Jadi ibu rela melihat Zura terus menderita begini. Apalah gunanya Zura menjadi isteri abang Zaidi, sedangkan hati dan perasaan ini sabenarnya menjadi milik orang lain. Andai beginilah jua realitinya bukan bahagia yang datang, malah derita dan air mata yang diundang”.

“Zura dah ada pilihan sendiri?”

Norfaizura tidak menjawab. Baginya tentulah ibunya memahami apa yang telah pun diperkatakannya tadi. Cuma, barangkali dia inginkan akan kepastian sahaja.

Puan Ngatiah menggelengkan kepala. Dia memandang anak gadisnya itu. Tangannya diletakkan di atas bahu Norfaizura, persis perlakuan dua orang sahabat karib. Sesungguhnya dia amat memahami hati dan perasaannya. Namun, kini apakan daya. Semua perkara itu adalah kehendak suaminya. Dia tidak boleh membantah, meskipun dalam hati dia amat tidak bersetuju dengan cadangannya itu.

“Bersabarlah Zura. Semuanya ini dugaan. Hadapilah dengan tabah…” Puan Ngatiah menepuk-nepuk bahu Norfaizura perlahan-lahan sambil menenangkan hati dan perasaannya.

Norfaizura cuba mengesat matanya yang basah dengan lengan baju kurungnya. Tangis esak hampir reda. Namun masalah yang bermukim dalam dada masih terbiar hanyut dalam duka. Tiada tanda-tanda akan terlerai.

“Ibu, bagaimana Zura boleh menjadi isteri abang Zaidi, sedangkan perasaan cinta dan kasih terhadapnya tidak ada bu. Mahukan ibu melihat Zura bersedih dan berduka sentiasa apabila berkahwin dengan abang Zaidi. Ibu mahu melihat Zura hidup bahagiakan? Andailah ini terjadi, akan bahagiakah hidup Zura bu?” Perlahan sekali Norfaizura menuturkan kata-kata itu. Begitu sayu dan pilu sekali. Sesayu hati dan perasaannya.

Mendengarkan saja kata-kata itu, Puan Ngatiah turut berhiba. Matanya juga turut digenangi air. Dia dapat membayangkan perasaan yang sedang bergelora dalam jiwa anak gadis kesayangannya itu.

“Bersabar sahaja lah Zura”

“Sampai bila bu?”

Fikiran Norfaizura buntu. Dia belum menemui jalan penyelesaian yang boleh memuaskan semua pihak. Apakah dia harus berkorban tanpa kerelaan?

Norfaizura mendongak apabila terdengar bunyi motosikal menghampiri halaman. Puan Ngatiah telah lama naik ke atas rumah. Barangkali dia telah ke dapur untuk menyediakan hidangan tengah hari. Tinggallah kini Norfaizura sendirian meladeni hati dan perasaannya itu yang semakin tak karuan di muka tangga.

Norfaizura mengamat-amati siapakah tetamu yang memberhentikan motosikalnya itu betul-betul di depan tangga rumahnya itu. Motosikal ditongkat. Topi keledar dibuka dan diletakkan di atas tempat duduk. Norfaizura memandang tepat wajah tetamunya itu.

Mohd. Ezhar!  Mimpi apakah dikau ke mari?


1 comment:

PUTERALARA said...
This comment has been removed by the author.