Cerpen ini saya cipta untuk Peraduan Menulis Cerpen Hari Guru Tahun 1998 dan telah memenangi tempat ketiga dengan Hadiah RM1,000 ringgit. Ketika itu masih menuntut di UPSI. Saya terpaksa ponteng kuliah untuk menerima hadiah itu! kah...kah...kah..!
PERISTIWA Cikgu Ramlan ditumbuk dan dilempang oleh penjaga murid tidak ramai yang tahu. Hanya beberapa orang rakan karibnya sahaja yang mengetahui kejadian itu. Itupun setelah mereka menyedari tentang perubahan yang berlaku pada wajah Cikgu Ramlan. Ada kesan lebam pada pipi sebelah kanannya.
“Kau tak boleh berdiam diri sahaja Lan. Kau harus bertindak sesuatu..” cadang Cikgu Shakyean.
“Nak bertindak macam mana Yean, aku memang tak bersalah”, kata Cikgu Ramlan perlahan. Selama ini dia tidak pernah bermusuhan dengan sesiapa pun, terutama sekali penjaga murid.
“Kita kan ada kesatuan. Laporkan sahaja pada kesatuan. Biar kesatuan yang bertindak”.
“Ini perkara kecil Yean. Buat apa nak dipanjang-panjangkan. Aku rasa biar aku sendiri yang menyelesaikan perkara ini”.
“Sekurang-kurangnya kau lapor pada guru besar. Kalau perlu kita lapor pada polis. Biar mereka tahu. Kalau tidak nanti naik tocang penjaga budak tu”.
Peristiwa itu berlaku begitu pantas sekali. Ketika itu Cikgu Ramlan sedang mengajar Matematik di Kelas Lima Mawar. Tiba-tiba datang seorang penjaga murid mengetuk pintu kelas. Bila Cikgu Ramlan menghampirinya tiba-tiba dia terus dilempang dan ditumbuk beberapa kali. Cikgu Ramlan tergamam. Dia hampir terduduk dibuatnya.
Kalau dilihat daripada rupa bentuk tubuh penjaga itu memang Cikgu Ramlan tak berdaya hendak melawannya. Tubuhnya yang kecil dan kurus itu bukan tandingan untuk dipertarungkan..
“Lain kali jangan cuba nak apa-apakan anak saya..” hanya itulah kata-kata yang diluahkan oleh penjaga murid itu lalu beredar meninggalkan sekolah sebelum sempat Cikgu Ramlan bertanyakan sesuatu tentang perkara yang sebenarnya.
Inilah peristiwa yang paling pahit yang pernah dialaminya sepanjang kariernya sebagai seorang guru semenjak enam tahun lalu. Menjelang tahun ketiga bertugas di Sekolah Kebangsaan Cempaka Sari, beraneka cerita suka duka telah mendatanginya. Namun atas nama profesional dia mendepaninya dengan sabar dan tabah.
Kemukhlisan dalam melaksana tugas dilaluinya dengan penuh rasa tanggungjawab. Lantaran kerjaya pendidik menjadi pilihan, amanah yang diberi pasti tak dipersia dan apa yang dijanji pasti akan ditunai. Meski cabaran datang melanda mendidik anak bangsa tetap diutama.
Namun tidak semua manusia bersyukur atas rahmat yang diterima. Ketidakpuasan tidak pernah reda. Ada sahaja cacat celanya. Bila anak beroleh kejayaan cemerlang mereka berbangga dengan kepintaran anaknya. Jarang sekali yang mahu berterima kasih pada guru yang mendidik.
Seandainya anak mereka menemui kegagalan, guru menjadi sasaran. Lantaran guru kurang tidak pandai mengajar. Tiada inovasi dalam diri dan pelbagai lagi tuduhan dilempar hingga kesabaran pun nyaris tercabar.
Saat itu dia teringatkan sebuah puisi ‘Obor Hemah’ buah pena Sasterawan Negara, A. Samad Said. Antaranya A. Samad Said menyatakan bahawa guru adalah awan indah terbang rendah melempahkan hujan pada musim gersang menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmat ia renjis embun pada pohon bakat.
Berdiri atas nama kebenaran. Itulah yang menjadi pegangannya selama ini. Dia mendidik atas sesuatu yang benar. Dia menjalankan tugas sebagai pendidik dengan adanya kebenaran. Permit mengajar, itulah lesen sebenar sebagai pendidik. Lantaran itu, tidak ada pihak yang boleh mempertikaikan tugasnya sebagai seorang pendidik.
Dia masih teringat akan terjemahan Al-Quran Surah Ali Imran ayat 79 yang dibacanya malam tadi, yang bermaksud ‘Hendaklah kamu menjadi pendidik (ilmuwan) yang beramal (rabbani), kerana kamu mengajarkan isi kebenaran dan kamu ikut juga mempelajarinya’. Dengan mengabidkan diri sebegini secara tak langsung menjadi penawar terhadap keresahan yang menyelimutinya kini.
Sebagai seorang pendidik, dia tidak takut menegakkan kebenaran. Baginya pendidik adalah golongan yang tidak berhenti-henti mendidik dan dididik. Di sekolah mereka adalah pengajar, manakala di dalam alam kehidupan mereka adalah pelajar yang memerlukan pendidikan yang berterusan bagi melengkapkan diri dengan berbagai-bagai ilmu dan kemahiran.
Cikgu Ramlan merenung empat puluh tiga orang murid Kelas Lima Mawar yang sedang tekun menyelesaikan masalah Matematik yang baru diberinya sebentar tadi. Dia bergerak ke hadapan dan ke belakang. Ke kiri dan ke kanan. Keliling kelas itu dijelajahinya bagi memastikan murid-muridnya itu benar-benar faham apa yang telah diajar.
“Mengapa kamu tak buat?”, tegur Cikgu Ramlan lembut apabila dilihatnya seorang murid lelaki asyik bermenung sahaja. Barangkali masalah mendepani murid ini, fikirnya.
“Saya tak faham cikgu!”
“Cuba terangkan kepada cikgu, apa yang kamu tak faham?”
Diam. Inilah masalah besar yang dialami oleh Cikgu Ramlan. Berdiam diri bukanlah satu penyelesaian kepada sesuatu masalah. Masalah perlu penghuraian. Setelah dikenalpasti punca barulah penyelesaian boleh diperolehi. Dalam keadaan begini Cikgu Ramlan mengulang semula contoh-contoh yang diberi beberapa kali.
Dia merenung satu persatu wajah-wajah anak muridnya itu. Barangkali salah seorang daripada penjaga murid-muridnya inilah yang memukul dan menumbuknya, cetus hati kecilnya. Tidak salah lagi. Tapi dia juga mengajar Kelas Lima Kenanga, matapelajaran yang sama. Dan Cikgu Shakyean adalah guru kelasnya. Cikgu Shakyean juga mengajar Bahasa Melayu di kelasnya, Lima Mawar.
Barangkali juga salah seorang penjaga murid Kelas Lima Kenanga?. Atau boleh jadi juga orang itu pemukul upahan yang selama ini tidak berpuas hati terhadap dirinya?. Teka-teki inilah yang sering berlegar di ruang minda Cikgu Ramlan. Dia kembali merenung ke dalam dirinya.
“Cikgu tidak seharusnya bertindak sendirian. Perkara ini adalah masalah sekolah, bukan masalah cikgu. Cikgu sepatutnya beritahu saya awal-awal lagi. Sebagai pentadbir, saya harus tahu apa yang berlaku saban hari di sekolah ini”.
Kata-kata Cikgu Zainal itu memang ada kebenarannya. Sebagai seorang guru besar yang berautoritatif, tanggungjawabnya adalah lebih berat. Mengikut peraturan, setiap pelawat yang ingin berurusan dengan mana-mana kakitangan di bawahnya mesti terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada guru besar.
Tapi bagaimana dengan orang yang memukul Cikgu Ramlan?
“Orang ini boleh didakwa kerana menceroboh!”, kata Cikgu Zainal lagi.
“Saya tak mahu semua guru tahu tentang perkara ini, cikgu. Saya malu nanti!”.
“Apa yang hendak dimalukan, kalau cikgu sebenarnya berada dipihak yang benar”.
“Itu betul cikgu. Tapi sudah tentu mereka beranggapan sesuatu yang negatif terhadap saya”.
Inilah yang ditakutkan oleh Cikgu Ramlan. Arwah ayahnya dahulu ada berpesan, apabila berada di tempat orang, baik-baik menjaga diri. Jaga tingkah laku dan jangan menyakiti hati orang. Ingatkan Allah selalu. Kata-kata itu dilafazkannya ketika ia akan melangkah meninggalkan orang tuanya untuk memulakan tugasnya sebagai seorang pendidik.
Hingga saat ini pun dia amat berhati-hati menuturkan kata-kata, baik dengan anak muridnya mahu pun rakan-rakan setugas. Dia sedar sepatah kata yang kurang enak ditutur boleh merenggang persahabatan mengundang permusuhan. Baginya, dia perlu mengurangkan percakapan tapi memperbanyakan senyuman. Sesungguhnya, dengan senyuman boleh mengeratkan persahabatan meredakan kemarahan.
“Jadi cikgu mahu perkara ini berakhir begitu saja”.
“Begitulah cikgu. Izinkan saya menyelesaikannya sendiri. Saya percaya suatu hari nanti, kebenaran akan memihak kepada saya”.
“Sesungguhnya, saya amat bersimpati terhadap cikgu”.
Ketika keluar dari bilik guru besar, Cikgu Ramlan bertembung dengan Cikgu Farha di karidor. Masing-masing hanya mengukir senyum tanpa mengucap salam. Ketika menuruni tangga, Cikgu Farha menoleh semula kepada Cikgu Ramlan. Barangkali dia perasan perubahan pada wajah Cikgu Ramlan. Mahu sahaja dia bertanya, tapi Cikgu Ramlan sudah agak jauh menuju ke bangunan Pusat Kegiatan Guru.
Sesungguhnya dalam keadaan begini, Cikgu Ramlan mahu sahaja mengasingkan diri daripada rakan-rakan sejawatnya. Dia risau apa yang harus dijawab sekiranya mereka bertanya sesuatu kepadanya. Apakah dia harus bernawak?
Cikgu Ramlan sedar, Cikgu Farha memerhatikannya tadi. Boleh jadi dia menyedari perubahan pada wajahnya. Entah kenapa, sejak dia mengetahui bahawa Cikgu Ramlan pernah tewas dalam pertunangan, Cikgu Farha terlalu mengambil berat tentang dirinya. Cikgu Farha banyak memberi perangsang dan nasihat. Dia juga sering membantu dalam melaksana dan menyelesaikan tugasnya sebagai Penyelaras Pusat Sumber Sekolah.
“Assalammualaikum!. Boleh saya berjumpa dengan Cikgu Ramlan”.
Tengah hari itu, Bilik Guru Sekolah Kebangsaan Bukit Badong didatangi oleh tetamu yang tidak diundang. Daripada gaya dan pertuturannya orang itu bersungguh-sungguh hendak berjumpa dengan Cikgu Ramlan. Ada perkara penting katanya.
Menyedari perkara itu, Cikgu Shakyean yang kebetulan berada di situ mengarahkan orang itu agar menemui guru besar di biliknya di tingkat satu terlebih dahulu. Dia tidak mahu ironi berulang kembali kepada Cikgu Ramlan. Semua guru berpandangan sesama sendiri. Masing-masing ingin tahu apa yang berlaku pada Cikgu Ramlan.
Kebetulan sudah dua minggu Cikgu Ramlan tidak hadir ke sekolah. Dia berada di wad hospital. Tidak ada seorang pun yang tahu penyakit yang dihidapinya. Setakat ini hanya beberapa orang rakan karibnya sahaja yang datang melawat bertanya khabar.
Perkara ini telah pun dikhabarkan kepada anak muridnya dalam perhimpuan mingguan pada hari Isnin lepas. Masing-masing telah diarah untuk berdoa agar Cikgu Ramlan cepat sembuh dan dapat kembali bertugas seperti biasa. Kesedihan jelas terbayang pada wajah-wajah mereka terutama sekali murid-murid tahun Lima Mawar dan Lima Kenanga. Tiap-tiap hari mereka bertanya tentang perkembangan guru kesayangan mereka, Cikgu Ramlan.
“Apa hal encik hendak berjumpa dengan Cikgu Ramlan?”, tanya Cikgu Zainal sebaik sahaja mempersilakan tetamu yang mengenalkan dirinya Hamid itu duduk di atas kerusi di hadapannya.
“Saya ada hal penting hendak berjumpa dengannya”.
“Encik Hamid ini, saudara maranya ke?”.
“Bukan. Sebenarnya saya hendak memohon maaf daripadanya”.
“Apa yang telah Encik Hamid lakukan terhadapnya?”.
Orang itu diam. Dia menundukkan kepalanya. Ternyata kekesalan menghiasi ruang wajahnya. Sejak anaknya memberitahu tentang peristiwa itu, hatinya tidak pernah tenteram. Rupa-rupanya dia telah tersilap orang. Orang yang ditumbuknya itu bukannya Cikgu Shakyean tetapi Cikgu Ramlan yang kebetulan sedang mengajar di kelas anaknya.
“Apa yang mendorong Encik Hamid berbuat begitu?. Bukankah lebih baik Encik Hamid berbincang dengan saya terlebih dahulu.”
“Maafkan saya cikgu. Sebenarnya saya terlalu menurutkan perasaan. Isteri saya memberitahu bahawa lengan anak saya itu dicubit oleh Cikgu Shakyean hingga berdarah. Ada kesan darah pada lengan bajunya. Kalau hendak pukul anak saya, pukullah. Saya tak marah. Tapi kalau sampai berdarah, ini sudah melampau”, luah Encik Hamid penuh geram.
“Mengapa pula Cikgu Ramlan yang menjadi sasaran?. Bukankah ini satu penganiayaan?”
“Dia yang mengajar di kelas anak saya. Saya fikir dialah Cikgu Shakyean. Saya pun tak kenal dia”.
Cikgu Zainal menggelengkan kepala. Ada juga penjaga murid yang tidak mengenali guru anak mereka sedangkan banyak aktiviti yang melibatkan ibu bapa dianjurkan oleh pihak sekolah seperti sukan, mesyuarat PIBG, Hari Kecemerlangan dan bermacam-macam lagi. Barangkali Encik Hamid tidak pernah hadir dalam majlis-majlis tersebut.
Encik Hamid sendiri memang mengakui perkara itu. Selama ini urusan persekolahan-anak-anaknya diserahkan bulat-bulat kepada isterinya. Dia tidak pernah mengambil tahu pun tentang pelajaran anak-anaknya. Yang dia tahu, anak-anaknya itu tiap-tiap hari pergi ke sekolah.
“Dua hari kemudian, barulah saya tahu cikgu. Rupa-rupanya lengan anak saya itu berkudis. Jadi bila terkena cubit sedikit pun tentulah berdarah..”, beritahu Encik Hamid penuh kekesalan. Dia telah terlanjur kini. Tindakan melulu tanpa periksa kiranya telah membuatkan orang lain tersiksa.
Hatinya tidak pernah aman kini. Sebarang kerja yang dilakukannya tidak pernah menjadi. Kerunsingan dan kekesalan silih berganti menjelma disanubari. Barangkali ketenteraman bakal menjelma bila kemaafan telah dipinta. Hatinya bagai ditarik-tarik untuk segera meminta kemaafan daripada Cikgu Ramlan.
“Boleh saya berjumpa dengan Cikgu Ramlan sekarang?”
Cikgu Zainal memandang tepat ke wajah Encik Hamid. Rasanya tidak tergamak dia memberitahu akan keadaan sebenar Cikgu Ramlan. Bimbang kekecewaan Encik Hamid akan bertambah menghimpun resah yang tak sudah. Namun ia harus mengakui hakikat sebenar. Kita hanya merancang sedangkan ketentuan berada ditanganNya.
“Beginilah Encik Hamid. Sebenarnya orang yang Encik Hamid hendak temui itu tidak berada di sini!”.
“Cikgu Ramlan di mana, cikgu?”
“Dia sedang berusaha menyembuhkan penyakitnya di hospital”.
“Apa!. Dia sakit?”
Encik Hamid menekupkan kedua tapak tangannya ke muka sambil beristifar beberapa kali. Benarlah kini kekesalannya semakin menjadi-jadi berputaran meresahkan hati. Bagaimanakah ia harus menemui Cikgu Ramlan?.Sesungguhnya kekesalan ini tidak akan berakhir di sini sekiranya kemaafan masih tidak diperolehi. Mungkinkah tindakannya itu menyebabkan Cikgu Ramlan berkeadaan begitu?
Tiba-tiba telefon berdering. Tanpa sebarang pamitan, Encik Hamid beredar meninggalkan bilik Guru Besar. Dengan langkah longlai dia menuruni anak tangga dengan amat perlahan menuju ke pagar sekolah. Pandangannya dilemparkan ke bukit lokos di hadapanya. Ke mana lagikah langkah mahu ditujukan arah?. Maafkan aku Cikgu Ramlan. Dia hanya pasrah.
Cikgu Zainal bergegas keluar dari pejabat menuju ke Bilik Guru. Ketika itu waktu persekolahan akan tamat kira-kira sepuluh minit lagi. Kelas untuk murid-murid tahap satu telah pun berakhir. Sambil menantikan waktu untuk pulang, biasanya ramai guru-guru akan berkumpul di sini.
“Saya baru sahaja menerima panggilan telefon daripada pihak hospital mengenai perkembangan terbaru Cikgu Ramlan”.
Perbualan yang sedang rancak di kalangan guru-guru tiba-tiba terhenti. Situasi sunyi sepi. Semua mata tertumpu ke arah Cikgu Zainal yang tegak berdiri di muka pintu. Masing-masing menanti penuh debar khabar terbaru Cikgu Ramlan.
“Dia kini dalam keadaan koma dan telah dipindahkan ke wad ICU. Sesiapa yang ada kelapangan bolehlah melawatnya petang ini..”
“Apa penyakitnya cikgu?”, Cikgu Shakyean ingin kepastian.
“Barah di kepalanya hampir pecah!”.
Saat itu, air mata jernih hampir menitis di kelopak mata Cikgu Farha!.
Wednesday, October 07, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment