Cerita ini juga digarap menggunakan Teknik Surah Yusuf. Cerita ini adalah sebahagian daripada 31 buah cerita yang sedang proses penciptaan yang bakal diterbitkan oleh PTS Islamika. (Entah bila...)
SETELAH gagal membunuh Nabi Muhammad ketika sedang solat berhampiran Kaabah, kini Abu Jahal membuat rancangan lain yang lebih licin dan teratur tanpa diketahui oleh sesiapa kecuali orang-orang suruhannya sahaja. Kali ini dia ingin membunuh Nabi Muhammad dengan membuat perangkap agar beliau terjerumus ke dalam lubang.
Abu Jahal pun membina sebuah lubang yang dalam di hadapan pintu rumahnya. Lubang itu kemudian ditutup dengan tanah kemas-kemas sehingga tidak ada orang menyangka bahawa di bawahnya ada sebuah lubang yang dalam. Di sekitarnya ditanam dengan rumput-rumput halus seolah-olah seperti keadaan semula jadi. Sesiapa yang memijak tempat itu pasti akan terperosok ke dalam lubang.
Setelah semua selesai, Abu Jahal memanggil orang suruhannya sambil berkata, “Pergi kamu menemui Muhammad dan khabarkan kepadanya bahawa saya sedang sakit kuat.” Sebaik sahaja orang suruhannya pergi menemui Nabi Muhammad, Abu Jahal pun baring di tempat tidurnya dan berpura-pura sakit.
Apabila mendengar khabar bahawa Abu Jahal sedang sakit, Nabi Muhammad pun ingin segera menziarahinya walaupun Abu Jahal adalah musuhnya yang sentiasa mengejek, mencaci dan menghinanya. Sifat dan akhlaknya yang terpuji itu telah melebihi segala-galanya.
Ketika hampir sampai ke rumah Abu Jahal, malaikat Jibril telah membisikan kepadanya agar membatalkan sahaja hasratnya itu kerana ini adalah merupakan satu perangkap. Jibril menyarankan agar Nabi Muhammad pulang sahaja ke rumah. Abu Jahal sebenarnya tidak sakit.
Apabila mengetahui bahawa Nabi Muhammad tidak jadi ke rumahnya, tanpa berfikir panjang Abu Jahal bingkas bangun lalu membuka pintu dan keluar untuk mengejar Nabi Muhammad. Tanpa disedari, Abu Jahal terpijak perangkap yang dibuatnya sendiri lalu terperosok ke dalam lubang.
Melihatkan keadaan itu, orang suruhannya segera menghulukan tali kepada Abu Jahal. Namun, tali panjang yang dihulurkannya ke dalam lubang itu tidak juga dapat digapai oleh Abu Jahal walaupun telah disambung beberapa kali. Menyedari keselamatannya terancam, Abu Jahal berteriak sekuat hati kepada orang suruhannya itu.
“Pergilah kamu segera menemui Muhammad. Mintalah pertolongan darinya. Tidak ada orang lain yang boleh menolongku kecuali Muhammad sahaja. Pergilah cepat!”
Nabi Muhammad telah maklum akan kehadiran utusan Abu Jahal itu. Beliau segera memaafkan kesalahan orang yang mahu membunuhnya itu. Nabi Muhammad bergegas menuju ke rumah Abu Jahal.
Ketika Nabi Muhammad menjenguk ke dalam lubang itu, Abu Jahal berkata, ”Wahai Muhammad! Jika engkau berjaya mengeluarkan aku dari dalam lubang ini, aku akan beriman kepada Allah dan Rasul-Nya!”
“Baiklah kalau begitu,” ujar Nabi Muhammad.
Nabi Muhammad menghulurkan tangannya ke dalam lubang itu. Apabila Abu Jahal telah memegang tangannya, Nabi Muhammad pun menariknya ke atas. Abu Jahal berasa lega apabila telah dapat keluar dari dalam lubang itu.
Orang suruhan Abu Jahal kehairanan melihat peristiwa itu. Nabi Muhammad dapat mengeluarkan Abu Jahal hanya dengan menggunakan sebelah tangannya sahaja. Pada hal sebelum ini dia telah beberapa kali menyambung tali itu tetapi tidak juga dapat dicapai oleh Abu Jahal.
Setelah mengibas-ngibas tubuh badannya daripada debu-debu pasir, Abu Jahal menghampiri Nabi Muhammad lalu berkata, “Wah! Hebat benar sihirmu, ya Muhammad.”
Setelah berlalu beberapa langkah, Abu Jahal menoleh ke belakang memandang Nabi Muhammad.
“Barang siapa yang menggali lubang untuk saudaranya yang muslim, nescaya ia sendiri yang akan terperosok ke dalamnya,” kata Nabi Muhammad.
Wednesday, October 07, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment