Wednesday, October 07, 2009

NOSTALGIA SEBUAH PUISI

Idea menulis puisi ini tercetus ketika lepak-lepak di atas Bukit Malawati Kuala Selangor berhampiran dengan meriam yang mengadap Selat Melaka yang luas terbentang. Pandangan dilemparkan jauh ke arah bumbung Sekolah Menengah Seri Tanjong. Tiba-tiba wajah seorang gadis menjelma dengan senyum masih terukir di bibirnya...!
Engkau kah itu?


SEBUAH PUISI PEKAN KSKU DAN
MONOLOG  BUAT SEORANG GADIS


Kau mahu datang ke pekan KSku
datanglah,
datanglah menziarahi pusara pahlawanku yang
gugur dua abad lalu.

Kalau kau seorang muliawan
sedekahkan fatihah ke atas rohnya
semoga aman sejahtera damai senantiasa

Katamu,
mahu kau dengarkan angin laut
berhembusan menyentuh puncak nyiur
sayang,
kau bukan seorang penyair yang dapat
menyanyikan lagu romantika tarian ombak.

Mahu kau dengar desiran angin lembut
berhembusan di puncak malawati?
mahu kau dengar keluh resah seorang Adam
di persimpangan Batang Berjuntai dan Bukit Rotan?
sayang,
kau bukan seorang penari yang bisa
menghakikatkan lambang-lambang
kemanusiaan itu.

Tahukah kau lagukan
nyiur gading puncak mahligai di pinggir laut Rantau
Abang?
Tahukah kau menangis seperti sedu sedan
seorang perawan yang kehilangan kekasih
di jantung laut itu?
Sayang, kau bukan seorang seniman
yang bisa melagukan lagu derita dan
membisikan kata-kata setia seorang Adam.

Katamu, kau mahu datang
datanglah meredah kabut laut
dan berlarian antara siput-siput.

Bisakah kau mencari jejak jari jemariku
lalu tidak usah bertanya kepada kedinginan air laut
yang sering pasang dan surut
sedang senja masih panjang menunggu siang
atau kau akan jerit-jeritkan namaku pada beburung senja
yang pulang bahawa setia sudah berkubur
bersama pusara yang sering aku tangisi!



KURNIAKAN AKU KEDAMAIAN

Puisi terhasil disuatu malam, ketika mata tidak mahu terlelap, sambil bertemankan sebuah pelita minyak tanah maka terukirlah catatan-catatan berikut. Ketika catatan-catatan ini ditulis, air mata jernih merembes di pipi tanpa disedari...


DEMI waktu yang mencatat
segala perjalanan rahsia nadi
kurniakan aku kedamaian
antara kesakitan dipangkal penghukuman
dan kesihatan dipenjuru titik penentuan.

Suatu kurnia yang tidak pernah diminta
telah mewarnakan petak-petak kehidupan
di kanan, di kiri, di hadapan dan di belakang
lantaran cahaya enggan menyinar kegelapan
kerana kegelapan telah menodai sinaran
pada lidah penutup bicara
satu pemergian pengakhir kata.

Kurniakan aku kedamaian
antara tangisan kepada keriangan
antara keributan kepada ketenangan
hadiahkan aku sebuah kebahagiaan
ukirkanlah aku sebuah senyuman.

Rintiskan aku satu perjalanan
yang bakal melahirkan kedamaian
akan kuulang kalimat Alhamdulillah
andai harapan terserlah
akan aku rapatkan pada yang Satu
dengan sekalung doa berbatu-batu
kurniakan aku kedamaian.



Kuala Selangor.            - M. SURUR DASUKI
Berita Minggu,
Ogos,10 1975.

No comments: