MALAM semakin sepi. Bulan baru sahaja menghamparkan sinarnya di puncak awan. Arus air Sungai Selangor tenang sahaja. Maklumlah ketika ini musim air pasang besar. Dan ketika inilah udang galah banyak didapati di sepanjang sungai ini terutama sekali pada waktu malam. Jeti Kelip-Kelip Kampung Kuantan telah hampir lima minit aku tinggalkan.
Sampan yang aku sewa daripada Pak Uda Manap, aku kemudikan dengan tenang. Zainuri duduk di hadapan manakala Zainal di bahagian tengah. Enjin seratus lima puluh kuasa kuda itu aku pulas dengan kelajuan sederhana.
Pohon berembang yang merimbun di kiri kanan sungai sudah tidak seindah kerlipan neon. Menjelang tengah malam kelip-kelip yang hinggap di pohon tersebut sudah mula berkurangan.
Selepas senja laluan ini menjadi sibuk dengan sampan yang membawa para pelancong untuk menyaksikan kelip-kelip. Keunikan spesis fauna ini menjadi tarikan pelancong dari seluruh dunia.
“Kita berhenti di sini”, arah Zainuri.
Aku memperlahankan enjin sambil menghampiri ke tepi sungai. Zainuri mencapai tali sampan lalu mengikatnya pada pohon berembang. Kami mula mengambil joran. Masing-masing membawa dua batang joran. Setelah umpan dipasang, joran pun dicampak ke dalam sungai.
Inilah kali pertama kami memancing udang pada waktu malam. Biasanya aktiviti ini kami jalankan pada waktu siang sahaja terutama sekali pada hari minggu atau hari kelepasan am. Dan hasilnya boleh tahan juga.
Cadangan Zainal untuk memancing pada waktu malam tidak mendapat bantahan. Kami semua bersetuju. Selain daripada hawanya yang kurang panas, kami juga ingin menikmati keindahan di sepanjang sungai itu pada waktu malam.
“Aku dapat!”, tiba-tiba Zainuri memecah kesunyian malam. Dia terus menggulung kekilinya dengan pantas.
“Besar tu..” sampuk Zainal.
Aku hanya memerhatikan sahaja. Pandangan kami tumpukan kepada joran Zainuri. Kami ketawa apabila yang dinaikkannya hanyalah seekor anak ikan baung yang sebesar ibu jari.
“Ini hanya pembuka tirai..”, kata Zainuri.
“Kalau dapat bapak baung, sedap juga”, ujar Zainal sambil menepuk nyamuk yang hinggap di lengannya.
“Ha, ini giliran aku”, kataku perlahan. Aku menggulung kekili dengan tenang.
Aku tahu dalam keadaan begini kita tidak perlu terburu-buru. Barangkali mata pancing belum terlekat pada mulut udang. Baru digigitnya sahaja. Kalau tergesa-gesa kemungkinan ia akan terlepas.
Keadaan menjadi bertambah seronok apabila masing-masing dapat menaikkan udang yang sederhana besarnya satu persatu. Saat ini kegembiraan jelas terpamir pada setiap wajah. Bertemankan sebuah lampu ayam dan sebuah lampu picit, kami teruskan aktiviti kegemaran yang sukar sekali kami pisahkan.
Malam itu kami tidak berseorangan. Beberapa buah sampan kelihatan dikejauhan berdasarkan kepada cahaya yang berbalam. Dingin malam semakin terasa apabila titis embun mula menghimpun membasahi pepohon. Langit cerah. Cahaya bulan terlindung di sebalik awan.
“Jom, kita beransur”, aku mengusul.
Zainal menyuluh jam tangannya.
“Baru pukul dua, sekejap lagilah”, katanya.
Entah kenapa pengalaman pertama memancing udang pada malam itu benar-benar dilimpahi rezeki. Aku, Zainal dan Zainuri masing-masing memperolehi udang yang sama banyak. Ada yang besar dan ada yang kecil.
Kalau ditimbang, mungkin ada sekilo beratnya.Ini membuatkan Zainal dan Zainuri tidak mahu mengaku kalah selagi umpan masih banyak terserlah. Gigitan nyamuk dan agas sudah menjadi satu lumrah. Lantaran kami bukan perokok, kehadirannya memang tidak dapat dihalang.
“Tak kanlah dah mengantuk”, ujar Zainal.
Aku meluruskan badan sambil menutup mukaku dengan topi. Joran aku biarkan sahaja tersadai di pinggir sampan. Zainal dan Zainuri masih tekun memegang joran masing-masing.
Seketika kemudian aku terdengar desiran angin. Semakin lama semakin kuat. Dedaun pada pepohon di sekeliling kami bergoyang-goyang melintuk-liuk dibuai angin kencang. Tidak mungkin hujan akan melanda kerana di langit mendung tiada tanda.
Aku merasakan angin itu berpusing-pusing di sekeliling sampan kami diikuti dengan bunyi yang menakutkan. Kami berpandangan sesama sendiri. Aku merasakan bulu romaku tegak. Joran yang diragut udang tidak lagi kami hiraukan.
Sampan yang kami naiki terasa bergoyang. Alamat tak baik akan berlaku, fikirku. Kami tidak berkata-kata. Masing-masing hanya berdiam diri sahaja. Dalam keadaan begini tersilap kata hanya akan mengundang petaka. Dalam hati, kami membaca apa sahaja ayat Al-Quran yang termampu memohon keselamatan daripada kecelakaan.
Aku cuba menghidupkan enjin. Malangnya setelah dicuba beberapa kali, enjin tidak mahu juga hidup. Aku terus mencuba hingga lenguh tangan dibuatnya. Aku kehilangan punca.
“Macam mana ni?” , aku mulai risau.
“Pakai dayung!” , usul Zainuri.
Aku mencapai dayung. Aku kayuh sekuat tenagaku. Anehnya sampan masih tidak mahu bergerak walaupun tali sudah dileraikan ikatan. Aku kehilangan ikhtiar. Aku beristifar beberapa kali. Begitu juga dengan rakan-rakanku. Peluh dingin meresapi ruang wajah. Malapetaka apakah yang akan menimpa kami?.
Tidak lama kemudian desiran angin semakin reda. Tiada lagi bunyi membingitkan. Kami menarik nafas lega. Aku mencapai lampu picit. Aku suluh sekeliling enjin, tangki minyak, wayar plug dan sebagainya. Petrol masih banyak lagi. Tidak ada kecacatan.
Tiba-tiba kami terdengar sayup-sayup bunyi orang mendayung sampan. Kami menoleh ke arah bunyi tersebut. Kami lihat satu lembaga putih berada di atas sampan sedang menuju ke arah kami. Semakin lama semakin hampir. Kami tergamam.
Bulu tengkuk kami meremang. Kami saling berpandangan dan berdiam diri sahaja lantaran mulut kami tidak terdaya meluahkan kata-kata. Seorang wanita berpakaian serba putih sedang berdayung menghampiri kami. Kami pasti, itulah objek yang sebenarnya kami lihat. Tidak silap lagi.
Zainal dan Zainuri merebahkan diri di atas sampan sambil menutup muka masing-masing. Aku yang tidak mempunyai ruang, tidak dapat berbuat apa-apa hanya duduk bersandar di tepi enjin. Mata aku pejamkan kerana tak sanggup menyaksikan lembaga serba putih itu.
Kami menunggu dengan penuh debar kemungkinan yang akan berlaku. Semakin lama semakin hampir. Bau harum kasturi semerbak mencucuk hidung. Dan akhirnya lembaga itu berlalu tanpa mengganggu kami. Kami perhatikan wanita serba putih itu menuju ke jeti Kelip-kelip. Dia menaiki tangga jeti dan terus hilang dari pandangan kami.
“Mari baliklah”, kata Zainal lemah.
Setelah semua joran dikemaskan, aku cuba menghidupkan enjin. Anehnya sekali tarik sahaja enjin boleh dihidupkan. Enjin terus aku pulas. Menderu bunyinya.
Kemana?.
Kami tidak ada pilihan lain melainkan terus ke Jeti Kelip-kelip Kampung Kuantan. Di situlah tempat berlabuhnya semua sampan. Kami berdebar-debar kalau-kalau wanita serba putih itu masih berada di situ. Ternyata tiada. Selepas mengikat sampan, kami cepat-cepat membawa segala peralatan naik ke darat.
Esoknya, aku menemui Pak Uda Manap dan menceritakan peristiwa yang berlaku. Pak Uda Manap hanya tersenyum sahaja. Katanya, lembaga wanita berpakaian serba putih itu memang sering muncul di situ terutama sekali pada waktu bulan purnama menjelang dinihari.
Menurutnya, di seberang sungai itu terdapat kubur Kampung Sarang Lang di mana kampung itu kini sudah tidak berpenghuni. Semua penduduknya sudah berpindah ke Kampung Kuantan. Kemungkinan lembaga itu adalah roh wanita yang mati lemas di sungai itu suatu ketika dahulu.
Seminggu kemudian aku mengajak Zainal dan Zainuri untuk memancing udang galah lagi di tempat yang sama.
“Kau pergilah sorang!”.
Aku hanya tersenyum sinis.
No comments:
Post a Comment