Cerpen ini adalah salah satu daripada dua buah cerpen yang saya hantar untuk pertandingan Menulis Cerpen Hari Guru 1998, tetapi tidak memenangi sebarang hadiah. Namun begitu saya amat berpuas hati kerana dapat menggarap cerpen ini hingga ke nokhtah terakhir. Ada yang berkata, ceritanya ada kaitan dengan dirinya!. Walau bagaimanapun idea ini timbul apabila melihat gelagat kawan-kawan yang beranika ragam dan karenah. Itulah sebenarnya realiti sebuah kehidupan.
KIPAS siling yang ligat berpusing ternyata masih tidak dapat meredakan bahang kepanasan tengah hari itu. Cikgu Osman melonggarkan ikatan tali lehernya sambil menyelak langsir tingkap biliknya itu ke tepi bagi membolehkan hembusan angin masuk tanpa sekatan. Dia kembali ke mejanya bagi meneliti satu persatu surat-surat yang diterimanya pada hari itu. Dahinya berkerut bila membaca surat yang berkepalakan Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Selangor.
“Cikgu Zahari bin Zulkifli....” detik hatinya perlahan. Macam dia pernah dengar nama itu. Bila dan di mana, dia kurang pasti. Dia bermenung seketika.
Pandangannya dilemparkan jauh ke luar ke puncak bukit gondol yang tidak berapa jauh dari situ. Beberapa ekor camar melayang-layang menanti mangsa untuk disambar. Kemudian dia mengangguk-ngangguk semacam mengiakan sesuatu.
Setakat ini, dia sudah menerima pengesahan empat orang guru yang akan bertukar ke sekolahnya pada tahun hadapan termasuklah Cikgu Zahari. Cuma ada dua lagi kekosongan untuk guru Bahasa Inggeris. Mungkin kekosongan ini akan dipenuhi oleh guru lepas maktab perguruan.
Cikgu Osman keluar dari biliknya menuju bilik Guru Penolong Kanannya Cikgu Zainal. Dia mempersilakan Cikgu Zainal masuk ke biliknya.
“Cikgu kenal dengan Cikgu Zahari bin Osman?”
“Cikgu Zahari bin Osman...”, ulang Cikgu Zainal untuk cuba mengingati nama itu. Dia cuba membayangkan guru muda yang berambut agak kerinting dan berkumis nipis itu.
“Kenal sangat tu tidaklah cikgu. Kalau tidak silap saya, kami pernah sama-sama hadir dalam satu mesyuarat olahraga. Kenapa dengan dia cikgu?”.
“Dia adalah salah seorang guru yang akan mengajar di sekolah ini pada tahun hadapan”.
“Baguslah cikgu. Cikgu Zahari ini aktif dalam sukan”.
“Bagus tu memang bagus. Tapi cikgu tahu, Cikgu Zahari ini adalah seorang guru yang bermasalah!”.
“Jadi cikgu bimbang, dia akan menjadikan satu beban pula kepada kita. Kalau begitu kita tolak sahaja penempatan cikgu ini”, cadang Cikgu Zainal.
“Saya tidak beranggapan begitu..”
Cikgu Osman memang kenal benar dengan Cikgu Zahari tapi hanya pada nama sahaja. Sebagai guru besar dia ada mendengar berbagai-bagai cerita dan masalah daripada rakan-rakan sejawatnya. Perkara yang paling kerap dibualkan adalah tentang perilaku guru-guru di bawah kawalan masing-masing terutama sekali guru-guru yang bermasalah.
Sebahagian besar daripada mereka sudah tidak sanggup lagi menangani guru-guru ini dan sebagai langkah terakhir adalah dengan menukarnya ke sekolah lain. Bagi Cikgu Osman tindakan seperti itu adalah tidak adil dan ini adalah merupakan satu penganiayaan. Menukarkan guru-guru seperti ini tidak akan dapat menyelesaikan masalah guru tersebut, sebaliknya akan menimbulkan masalah pula kepada orang lain.
Dan jadilah guru-guru bermasalah ini ibarat bola yang ditendang, dilambung dan ditanduk ke sana ke mari tanpa nokhtah. Sampai bila?. Inilah situasi yang sedang difikirkan oleh Cikgu Osman sebaik sahaja dia mengetahui bahawa salah seorang guru yang bakal menjadi warga sekolah itu adalah guru bermasalah.
Inilah fanomena yang bakal didepani oleh Cikgu Osman. Selama ini kebanyakan guru-guru di bawah kawalannya tidak pernah ada yang bermasalah. Kalau ada pun hanya segelintir sahaja. Itu pun tidak begitu serius. Mereka mudah sahaja menerima dan mengakui kelemahan diri masing-masing.
Tapi benarkah Cikgu Zahari ini seorang guru yang bermasalah? Apakah masalah yang menjadikan Cikgu Zahari ini seorang guru yang benar-benar bermasalah?. Inilah masalah yang kian berputar ligat di ruang mindanya seligat putaran kipas angin di biliknya.
Penggal pertama persekolahan sudah bermula hampir tiga minggu. Pembayaran yuran dan pengagihan buku teks serta buku tulis kepada murid-murid berjalan lancar sebagai mana yang dirancang. Semua guru-guru setakat ini berketerampilan dengan baik.
Cuma ada dua tiga orang guru sahaja yang belum menyiapkan rancangan pelajaran dalam Buku Persediaan Mengajar masing-masing. Cikgu Osman memberi kelonggaran selama empat minggu untuk melengkapkan segala butiran dan maklumat dalam buku tersebut. Sikap toleransinya memang dikagumi oleh guru-guru di bawahnya.
“Sebagai seorang guru, kita berhadapan dengan manusia yang memiliki hati, jiwa, akal dan keupayaan tertentu. Jadi hadapilah mereka dengan hati, dengan jiwa dan akal serta keupayaan yang jauh lebih berwibawa daripada mereka. Mendidik hati manusia mestilah dengan hati juga. Begitu juga mendidik akal mereka, perlulah dengan akal. Kehidupan mereka itu adalah perlu juga dibentuk melalui sifat-sifat kehidupan yang universal yang perlu ada kepada setiap orang guru seperti anda semua”.
Begitulah ucapan sulong Cikgu Osman sewaktu mengadakan perjumpaan pertama dengan guru-guru Sekolah Kebangsaan Cempaka Sari sebelum bermulanya penggal persekolahan yang lalu. Barangkali kata-kata itu benar-benar menjadi aspirasi kepada guru-guru untuk melahirkan murid-murid yang berkualiti dan berwibawa.
“Ingatlah kata-kata Ibnu Rusyd bahawa guru yang bahagia adalah guru yang berjaya menjadikan murid-muridnya seorang manusia yang berbahagia!”, sambung cikgu Osman lagi.
Tugas mendidik ini bukannya satu tugas yang mudah. Bagi cikgu Osman, guru ialah mereka yang dianggap sebagai orang yang telah terdidik untuk mendidik dan membimbing orang lain supaya mengenali tuhannya, dunianya dan kehidupannya.
Seseorang guru adalah benar-benar guru dan memiliki sifat-sifat keguruan apabila berjaya meramalkan manusia berjaya, berjaya mengurangkan manusia kecewa, berjaya merapatkan manusia kepada Tuhannya, berjaya mengenali manusia gagal dan berjaya memahami diri sendiri yang adakalanya duka, adakalanya bahagia.
Berbekalkan kepada keyakinan inilah Cikgu Osman berjaya mengendalikan pentadbiran Sekolah Kebangsaan Cempaka Sari yang mempunyai hampir seribu orang murid dan lima puluh orang guru dan kakitangan hampir lima tahun. Setiap masalah ditanganinya dengan tabah agar setiap langkah yang cuba diarah tidak mudah rebah ke tanah.
Memperkenalkan sesuatu inovasi bukanlah semudah menulis puisi. Sebagai pentadbir dia tidak seharusnya terlalu preskriptif sahaja malah dia lebih
menggalakkan gurunya menjalankan kerja secara kolektif agar dapat menghasilkan sesuatu yang kualitatif.
“Saya sudah menyemak buku Persediaan Mengajar cikgu dan saya dapati ada beberapa perkara yang sepatutnya cikgu penuhi masih terbiar kosong. Dan yang paling menyedihkan saya, cikgu tidak menyediakan rancangan pelajaran mingguan dan harian selama tiga minggu. Boleh tak Cikgu Zahari berikan justifikasinya?”
“Maafkan saya cikgu. Sebenarnya saya terlupa..”, suara Cikgu Zahari agak terketar-ketar.
“Saya rasa jawapan cikgu itu tidak komprehensif. Saya tak hairan kalau jawapan seperti ini dituturkan oleh seorang murid. Murid biasanya akan beralasan sedemikian apabila dia tidak membuat kerja rumah. Tapi sekarang saya berhadapan dengan seorang guru, bukan seorang murid!”.
Cikgu Osman merenung tepat wajah Cikgu Zahari yang sedang tunduk. Kata-kata guru besarnya itu benar-benar memanaskan telinganya. Sesungguhnya inilah perkara yang paling tidak digemarinya sebagai seorang guru. Entah kenapa dirinya terasa teramat malas untuk menulis apalagi menulis rancangan pelajaran mingguan dan juga harian.
“Baiklah cikgu. Ambil pen saya ini, saya tak mahu cikgu gunakan pen cikgu. Siapkanlah rancangan pelajaran itu di sini, di atas meja saya ini. Saya tak mahu cikgu beralih ke tempat lain. Kalau mengikut jadual waktu sekarang ini cikgu sepatutnya berada di kelas Empat Mawar mengajar Bahasa Melayu. Tak apalah, saya akan ambil alih kelas cikgu!”, Cikgu Osman lantas bangun lalu beredar.
Cikgu Zahari terpinga-pinga kehairanan. Semenjak menjadi guru selama enam belas tahun dia belum pernah menemui guru besar seperti Cikgu Osman. Dia sanggup mengambil alih kelas ajarannya semata-mata memberi peluang kepadanya untuk menyiapkan rancangan pelajaran.
Sebelum bertugas di sekolah ini, dia hanya menerima memo yang diselitkan pada Buku Persediaan Mengajarnya. Adakalanya pula cuma diberi ingatan sahaja. Tetapi bila memo-memo itu telah sejuk, penyakit malasnya muncul semula. Dia mula mengabaikan Buku Persediaan Mengajarnya.
Apakah aku harus menurut arahannya?. Bagaimana nanti kalau aku buat keras kepala?. Mengapa pula mesti menggunakan pennya? Dan kenapa pula dia tidak dibenarkan keluar dari biliknya ini? Ke bilik guru misalnya?
Seribu satu macam persoalan berlegar di mindanya. Cikgu Zahari memerhati pen Cikgu Osman. Dicapainya dan diteliti. Tentu mahal harganya, bisik hati kecilnya. Dia membuka Buku Persedian Mengajarnya. Diselaknya satu persatu. Dia cuba menulis hari dan tarikh. Cantik dan sedap pula diguna, bisiknya. Cikgu Zahari senyum sendirian.
“Berapa orang anak cikgu?”
Itulah soalan yang pertama sekali ditanyakan oleh Cikgu Osman sebaik sahaja dia melaporkan diri untuk bertugas di Sekolah Kebangsaan Cempaka Sari. Cikgu Zahari tersenyum.
“Saya belum ada anak , cikgu..”
“Sudah berapa lama cikgu kahwin?”, soalnya lagi.
Inilah pertanyaan yang sukar sekali untuk dijawab oleh Cikgu Zahari. Dan kalau boleh dia tidak mahu perkara seperti ini ditimbulkan.
“Buat apa cikgu nak tahu itu semua..”
Bagi Cikgu Zahari perkara ini adalah terlalu peribadi dan tak seharusnya diketahui oleh sesiapa kecuali kerabat terdekat sahaja. Cikgu Zahari memang tidak suka orang mengetahui lebih mendalam tentang dirinya. Kalau boleh biarlah dia sendiri yang tahu tentang diari kehidupannya.
Norzulaifah. Tiba-tiba Cikgu Zahari teringatkan nama itu. Tentu kau dilimpahi bahagia kini, detik hatinya. Gadis manis dari jelapang padi Negeri Selangor yang pernah menjadi tunangannya itu kini berada di Negeri Bumi Kenyalang, bertugas di sana bersama suaminya.
Sejak dia tewas di medan percintaan, kehidupannya mulai berubah. Ketika di alam pertunangan dia rajin menulis surat. Dia sering membaca buku-buku untuk mendapatkan kata-kata yang indah dan menarik. Kalau dibukukan surat-suratnya itu boleh menjadi sebuah novel. Apa yang menjadi kegemarannya dahulu, kini menjadi satu kebencian pula. Dan sikapnya ini turut dijelmakan di dalam tugasnya sebagai seorang guru.
“Saya ini adalah majikan cikgu. Sebagai seorang majikan saya perlu mengetahui latar belakang setiap orang di bawah jagaan saya. Saya perlu menjaga kebajikan mereka. Saya juga perlu mengetahui kalau-kalau mereka ini mempunyai masalah. Masalah dari segi kesihatan, keluarga dan sebagainya. Saya tak mahu masalah mereka ini akan menjejaskan tugas dan tanggungjawab mereka kalau tidak dapat di atasi.”
Cikgu Osman merenung wajah Cikgu Zahari. Dari raut wajahnya, dia tahu Cikgu Zahari ada menyembunyikan sesuatu. Berdasarkan gaya dan perwatakannya dia percaya Cikgu Zahari belum beristeri.
“Tak mengapalah, kalau itu satu keberatan bagi cikgu. Cuma apa yang saya harapkan semuga cikgu bergembira bertugas di sini dan kalau ada sebarang masalah, saya sedia berkongsi sama..”
Pagi itu Cikgu Osman mendapat tahu bahawa Cikgu Zahari sering keluar dari sekolah tanpa memberi tahu arah haluan sebenar kepada guru yang bertugas. Tidak ada seorang guru pun yang tahu ke mana destinasi Cikgu Zahari cuma dari khabar yang tak rasmi dia mendapat tahu bahawa cikgu Zahari ke kedai Tok Ngah Mid untuk minum.
“Kenapa pula ke situ perginya, kantin kan ada!”, rungut cikgu Osman.
“Pukul berapa dia selalu ke sana?”
“Pukul sepuluh setengah, cikgu!”
Benarlah sebagaimana yang dikata bahawa Cikgu Zahari adalah guru yang sukar dikawal, sukar diurus dan sukar diramal karektornya. Setakat ini, Cikgu Osman tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap pelanggaran disiplin yang dilakukan oleh Cikgu Zahari.
Tindakan kekerasan dengan tergesa-gesa tanpa sebarang perancangan hanya akan membantutkan keadaan. Dalam situasi begini hanya kesabaran sahaja yang akan membuahkan kejayaan.
Tengah hari itu Cikgu Zahari masuk ke bilik guru. Selalunya dia jarang ke situ untuk berehat. Dia selalu menghabiskan waktu rehatnya di Pusat Sumber bersama-sama Cikgu Alias selaku Penyelaras Pusat Sumber Sekolah.
“Cikgu Zahari!..”, tiba-tiba namanya dipanggil.
Cikgu Zahari menghampiri ke arah suara yang memanggilnya.
“Cikgu Zahari boleh tolong saya tak?”, suara lembut Cikgu Zalifah.
“Pasal Cikgu Zalifah, saya sanggup buat apa saja, walau ke lautan api sekalipun..”, jawabnya sambil berjenaka.
“Betul..?”
Cikgu Zahari mengangguk.
“Beginilah cikgu, ini adalah kali ketiga saya tanya kepada cikgu..”
“Apa dia?”
“Markah ujian Bahasa Melayu Tahun Empat Mawar bagi bulan April”, cikgu Zalifah memandang tepat wajah Cikgu Zahari. Dia amat mengharapkan sangat markah itu untuk diisi di dalam rekod profail. Markah-markah mata pelajaran yang lain sudah diperolehinya cuma menantikan markah Bahasa Melayu daripada Cikgu Zahari sahaja. Sekiranya markah itu masih tidak diperolehinya juga bermakna tugasnya untuk menyelesaikan keputusan ujian bulan April akan turut tertangguh.
Akhirnya terjadilah pertengkaran antara Cikgu Zalifah dengan Cikgu Zahari apabila tuduh menuduh berlaku. Cikgu Zalifah mengatakan Cikgu Zahari tidak layak jadi guru kerana tidak dapat menunaikan tugas dan tanggungjawabnya sebagai seorang guru. Cikgu Zahari yang tidak berpuas hati dengan tuduhan itu mengata yang bukan-bukan terhadap Cikgu Zalifah hingga naluri kewanitaannya terguris lantas airmatanya pun menitis.
Cikgu Zalifah tidak menyangka Cikgu Zahari sanggup memperlakukannya begitu di hadapan rakan-rakannya yang lain. Niatnya yang ikhlas telah disalah anggap oleh Cikgu Zahari. Rakan karibnya, Cikgu Zaleha yang menyedari kejadian tersebut datang memujuk bagi mententeramkan keadaannya.
Baginya hanya Cikgu Zalehalah yang benar-benar memahami jiwanya. Mereka berkawan baik sejak di maktab perguruan lagi. Kebetulan pula mereka ditempatkan bertugas di sekolah yang sama.
Cuma persahabatannnya kini amat terbatas disebabkan Cikgu Zaleha sudah berumah tangga dan telah dikurniakan tiga orang anak. Cikgu Zalifah teringin juga menikmati suasana kehidupan seperti Cikgu Zaleha, tapi apakan daya. Jodoh dan pertemuan, Allah jua yang merencanakan.
Kedai Tok Ngah Mid tidak ramai dipenuhi pelanggan. Kebanyakan pelanggannya minum pada sebelah pagi. Menjelang pukul sepuluh, pelanggannya mulai berkurangan.
“Tok Ngah, teh tarik dan roti canai satu,” pesan Cikgu Osman sambil memilih tempat di sudut kedai.
Cikgu Osman memang jarang sekali minum di situ. Hanya sesekali sahaja. Itupun atas ajakan kawan-kawan. Tidak lama kemudian dia mendengar bunyi motosikal Cikgu Zahari. Tetamu yang ditunggu sudah tiba, detik hatinya. Dia terus menghirup teh tarik di hadapannya.
Sebagaimana biasa, Cikgu Zahari masuk ke dalam kedai itu tanpa menyedari kehadiran guru besarnya. Semasa mencari-cari tempat duduk, dia terpandang kepada Cikgu Osman.
“Marilah cikgu, kita minum sama-sama di sini”, pelawa Cikgu Osman.
Cikgu Zahari agak terkejut. Dia menjadi serba salah. Untuk tidak menunjukkan sebarang rasa bersalah, dia menerima pelawaan guru besarnya. Terperangkap lagi aku!, cetus hati kecilnya lalu senyum sendirian.
“Sedap teh dan roti canai Tok Ngah ni..”, puji Cikgu Osman memulakan perbualan.
“Itulah sebabnya cikgu selalu ke sini..”, sambung Cikgu Osman lagi.
Cikgu Zahari menyedut teh icenya perlahan. Entah kenapa teh ice yang biasanya sedap, hari itu terasa amat pahit. Begitu juga dengan roti canai Tok Ngah, terasa terlalu masin.
“Dengar khabar, semalam cikgu bertengkar dengan Cikgu Zalifah?”
“Ada sedikit perselisihan cikgu”.
“Perkara sebegini, tidak sepatutnya diamalkan cikgu. Kita harus menjaga etika profesion perguruan kita. Cikgu seharusnya akur kepada kebenaran. Milikilah kebenaran, kerana kebenaran itu adalah baik dan bagus. Apabila benar, baik dan bagus maka jadilah kita guru yang bahagia..”
“Apakah formula untuk menjadi guru yang bahagia?” soal Cikgu Zahari.
“Untuk menjadi guru yang bahagia, sseorang guru itu mesti memiliki sifat-sifat motivasi keguruan, berupaya membahagiakan manusia lain, mempunyai kekuatan untuk mencipta kehidupan yang bahagia dan meletakkan dunia dalam hatinya, dirinya dan kehidupannya”, terang Cikgu Osman sambil berfalsafah.
“Balik nanti cikgu renungkanlah. Adakah dalam diri cikgu telah memiliki sifat-sifat itu. Kalau belum, perbaikilah. Masih belum terlambat!.”
“Sebagai langkah permulaan, cikgu minta maaf pada Cikgu Zalifah. Dia seorang guru yang baik dan mulia. Cantik pula tu..!”, ujarnya tersenyum.
Cikgu Osman bangun lalu menuju ke kaunter bayaran. Dia membayar kesemua harga makanan dan minuman itu.
“Terima kasih , cikgu!” ucap Cikgu Zahari.
Malam telah larut. Cikgu Zahari masih tidak dapat melelapkan mata. Sebaik sahaja menyelesaikan markah ujian yang dipinta oleh Cikgu Zalifah, dia termenung. Merenung jauh dalam dirinya. Kata-kata nasihat daripada guru besar siang tadi masih berlagu mengocak mindanya. Dia menyedari bahawa selama ini dia telah melakukan banyak kesilapan.
Tapi anehnya, guru besar tidak pernah memarahi atau mengambil sebarang tindakan terhadapnya. Sebaliknya guru besar banyak memberikan perangsang, nasihat dan berbuat baik kepadanya. Ini menjadikannya terasa segan dan malu untuk mengulanginya semula.
Kekecewaan disebabkan oleh Norzulaifah tidak sepatutnya dilibatkan sama kepada semua wanita. Dia menyedari kini, selama ini dia sering berkasar terutama sekali dengan wanita yang dikenalinya. Wanita juga manusia, mempunyai hati, mempunyai perasaan.
Saat itu wajah Cikgu Zalifah menjelma di ruang ingatannya. Entah kenapa tiba-tiba kekesalan menerpa menyelimuti jiwanya. Dia benar-benar kesal terhadap apa yang telah dilakukannya kepada Cikgu Zalifah. Mestikah dia memohon kemaafan daripada Cikgu Zalifah?.
Bilik Guru Sekolah Kebangsaan Cempaka Sari agak gempar seketika pagi itu. Sejambak bunga yang terselit dengan sekeping kad menghiasi meja Cikgu Zalifah. Kehadiran bunga itu menjadi tanda tanya kepada semua guru terutama sekali guru wanita.
Masing-masing ingin tahu siapakah yang meletakkannya di situ. Kebetulan pula Cikgu Zalifah tidak hadir hari itu. Tidak ada siapa yang berani membuka kad yang terselit pada jambak bunga itu. Masing-masing membuat andainya sendiri.
Ketika mengemaskan mejanya untuk pulang di akhir persekolahan semesta itu, tiba-tiba cikgu Osman terjumpa sekeping kad. Barangkali kad itu sudah lama berada di atas mejanya, cuma ia sendiri tidak menyedari akan kehadirannya. Kad bersampul putih itu dibuka lalu ditelitinya. Lama.
Akhirnya dia tersenyum.
“Selamat pengantin baru cikgu Zahari!”, bisiknya perlahan. Kad itu dimasukkan semula ke dalam sampulnya. Mudah-mudahan dengan perkahwinan ini kehidupanmu akan terurus. Ketika hendak melangkah keluar, dia teringat siapakah pasangan Cikgu Zahari. Lantas Cikgu Osman membuka kembali kad bersampul putih itu.
“Cikgu Zalifah!”, Cikgu Osman kehairanan.
Rupa-rupanya puji-pujian terhadap Cikgu Zalifah suatu ketika dahulu telah benar-benar tersemat di dalam sanubarinya. Syukurlah, Cikgu Zahari kini pun sudah banyak berubah. Berkat usaha dan ketabahannya, Cikgu Zahari telah dapat menjalankan tugasnya dengan baik.
“Inilah hadiah yang paling berharga menjelang persaraanku!”.
Cikgu Osman tersenyum puas.
Wednesday, October 07, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment